HAKIKAT
KEMERDEKAAN MENURUT PERSPEKTIF ISLAM
Kemerdekaan
sebuah negara adalah nikmat terbesar kurniaan Allah yang
bukan semua manusia dapat merasainya. Berapa ramai umat
dan bangsa yang mendiami dunia ini semenjak daripada dahulu
hinggalah sekarang, tidak berhenti-henti bejuang hanyalah
untuk sesuatu yang dinamakan kemerdekaan. Tetapi hingga
kini, masih ramai dikalangan bangsa yang masih belum kenal
erti kemerdekaan. Kehidupan mereka zahir dan batin terbelenggu
dalam penjajahan.Segala-galanya disekat dan dijajah termasuklah
kehidupan untuk beragama dan tunduk kepada Allah Ta'ala
dengan penuh ketenangan.
Berjihad
dan berkorban dengan jiwa dan raga untuk memerdekakan negara
dari belenggu penjajahan adalah di antara sifat-sifat yang
mulia dan disanjung tinggi oleh Islam. Oleh itu, dalam mengenang
kembali sejarah kemerdekaan negara kita , generasi yang
hidup di zaman ini janganlah melupakan pengorbanan para
pejuang kemerdekaan yang telah membuka jalan ini kepada
kita. Disebabkan cetusan semangat para pejuang inilah maka
kita dapat hidup di zaman ini dan merasai nikmat perjuangan
mereka. Justeru itu, sebagai umat yang berhemah tinggi dan
berakhlak, kita merasa terpanggil untuk menghormati dan
mengenang kembali jasa pahlawan tanah air sama ada yang
masih hidup atau yang telah gugur di medan perjuangan.
Kedatangan
Islam sendiri ke alam dunia ini membawa mesej dan sifat
kemerdekaan. Islam menyeru manusia supaya membebaskan diri
dan pemikiran mereka daripada belenggu jahiliah dan kemusyrikan
terhadap Allah Ta'ala, membebaskan diri daripada perhambaan
dan membebaskan negara daripada cengkaman musuh.
Islam
dalam erti kata kesejahteraan, kedamaian dan keamanan semuanya
menjurus kepada maksud kemerdekaan. Hakikat ini dapat kita
lihat semasa perkembangan awal Islam di mana Rasulullah
Sallallahu 'alaihi Wasallam telah membawa kemakmuran kepada
Negara Madinah dan memerdekakan Kota Mekah daripada cengkaman
kafir Quraisy. Begitu juga perkembangan di zaman Khulafa'
ar-Rasyidin yang banyak memerdekakan negara dari cengkaman
kekufuran.
Islam
juga yang bersifat merdeka dalam erti kata yang lain bermaksud
bebas daripada keruntuhan akhlak dan kemurkaan Allah. Lantaran
itu, Islam talah berjaya menyelamatkan tamadun manusia daripada
sistem perhambaan, sama ada perhambaan sesama manusia ataupun
perhambaan terhadap hawa nafsu yang diselaputi oleh syirik,
kekufuran, kemungkaran dan kemaksiatan.
Seorang
penyair Arab yang bernama Ahmad Syauqi berkata dalam syairnya
yang bermaksud:
"Kekalnya bangsa kerana mulianya akhlak, runtuhnya bangsa kerana runtuhnya akhlak"
"Kekalnya bangsa kerana mulianya akhlak, runtuhnya bangsa kerana runtuhnya akhlak"
Justeru
itu, umat Islam hendaklah sentiasa berazam untuk membebaskan
diri daripada sifat-sifat yang boleh meruntuhkan wibawa
kamanusiaan kerana sifat-sifat yang demikian itu amat dimurkai
Allah dan akan hanya menyebabkan manusia terpenjara di bawah
arahan nafsu dan telunjuk syaitan. Dan lebih jauh dari itu,
kita hendaklah sentiasa memohon keampunan daripada Allah
Ta'ala agar mendapat keredhaanNya dan terlepas daripada
siksaan api neraka yang bahan bakarnya terdiri daripada
manusia dan batu-batan. Inilah dia nilai sebenar kemerdekaan
yang diajarkan oleh agama kita.
Wallahu
a'lam.
0 komentar:
Posting Komentar